Nilai Kebersihan Harus Diterapkan Dalam Kanak-Kanak

Credit Source: UKAS

BINTULU: Nilai kebersihan harus diterapkan dalam kalangan kanak-kanak melalui pendidikan awal.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, amalan ‘osoji’ daripada negara Jepun bertujuan mendidik kanak-kanak bagi mengamalkan kebersihan dari peringkat awal.

“Pada masa yang sama, ia juga menerapkan amalan bertanggungjawab ke atas sampah masing-masing sekaligus membantu dalam mengekalkan tahap kebersihan tempat mereka mereka diasuh dan dididik.

“Amalan itu juga mendidik kanak-kanak supaya mengutamakan kebersihan dalam kehidupan termasuk mendisiplinkan mereka supaya menghormati alam, manusia dan persekitaran tempat mereka tinggal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Pertama Ferroalloys (PFA) Female Forum 3.0 di sini pada Rabu.

Dato Sri Fatimah menegaskan, amalan ‘osoji’ merupakan satu bentuk didikan yang panjang dan berterusan sehingga kanak-kanak menjadi dewasa dan mempraktikkan sepenuhnya pengurusan sisa buangan mereka sendiri tanpa bergantung sepenuhnya terhadap orang lain bagi menguruskan sampah mereka sendiri.

“Apa yang penting ialah setiap kanak-kanak memahami sendiri bahawa aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan sama ada di dalam dan luar kelas sekaligus mendisiplinkan setiap mereka bahawa amalan kebersihan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 100 peserta terdiri daripada kakitangan wanita Ferroalloys Pertama serta persatuan-persatuan wanita telah menyertai forum tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Salmah Jobeli, Lembaga Pengarah merangkap Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Yuki Nakamura dan Pengurus Besar SEDIDIK Sdn Bhd Ayub Dahari. -EDISI UKAS