Abang Johari terima kunjungan hormat pengurusan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd

Credit Source: TVS (TVS, 2023)

KUCHING, 16 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat Pertama Ferroalloys Sdn Bhd di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut pengerusinya, Hirotaka Suzuki, kunjungan berkenaan bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi meningkatkan pengeluaran syarikatnya di Samalaju.

“Kami juga ingin menubuhkan dana pendidikan bersama-sama dengan Yayasan Sarawak kerana kami percaya pendidikan adalah amat penting,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat itu.

Pihaknya memutuskan untuk memberi sokongan melalui pendidikan kerana Abang Johari pernah membangkitkan isu berkenaan kepadanya ketika melawat Jepun pada Oktober tahun lalu.

“Kami berasa sangat gembira dengan apa yang kami lakukan di Sarawak ketika ini. Oleh itu, kami mahu melakukan lebih banyak lagi, bukan sahaja dari segi wang, tetapi juga sedang memikirkan bagaimana untuk menyumbang dari pelbagai bidang lain,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigadier Jeneral Dato Mahmud Saidin, diiringi Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Sarawak, Noni Zurainah Ismi. – TVS