87 peratus tenaga kerja di Pertama Ferroalloys anak tempatan

Credit Source: Dayak Daily (Chris Bishop, 2023)
Majang (kiri) mendengar taklimat Yuki sebaik tiba di Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.

Oleh Chris Bishop

SAMALAJU, 10 Julai: Sebanyak 87 peratus tenaga kerja di Pertama Ferroalloys Sdn Bhd kini merupakan anak tempatan.

Menurut Pengurus Besarnya Yuki Nakamura, kilang yang dibina di kawasan seluas 180 hektar di Taman Industri Samalaju itu kini memiliki sejumlah 578 pekerja.

“Kini sebanyak 87 peratus atau 508 pekerja adalah anak tempatan.

“Baki 13 peratus iaitu bersamaan 76 orang merupakan pekerja daripada negara luar seperti Jepun, China, Brazil, Butan, Filipina, India dan Afrika Selatan,” katanya.

Yuki berkata demikian dalam sesi taklimat sempena lawatan Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi ke kilang tersebut hari ini.

Justeru tambah beliau, kewujudan Pertama Ferroalloy di Samalaju membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang juga merupakan polisi syarikat.

Katanya, syarikat menyumbang sebanyak RM30 juta sebulan kepada ekonomi Bintulu yang meliputi penggunaan tenaga, gaji pekerja, bahan mentah, rantaian bekalan dan servis.

Selain itu ujar beliau, Pertama Ferroalloys juga melibatkan lebih 1,000 pekerja tempatan secara kontrak.

“Dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ini, saya yakin kita boleh mencapai 97 peratus pekerja tempatan yang mahir dalam bidang kejuruteraan.

“Sasaran saya ialah dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, Pertama Ferroalloys akan menggunakan 100 peratus anak tempatan,” ujarnya.

Tambah Yuki lagi, syarikat kini dalam perancangan untuk mengembangkan kilang tersebut dan bakal memerlukan lebih 2,000 pekerja tempatan.

Dalam pada itu, Majang ketika ditemui berkata kekurangan penglibatan anak tempatan diambil bekerja adalah satu isu.

Beliau sering mengajukan soalan berhubung jumlah anak tempatan yang diambil berkerja di lima syarikat besar di Taman Industri Samalaju.

Katanya, ia dipersoalkan sebelum menjadi wakil rakyat lebih kurang 7 tahun yang lepas iaitu semasa memegang jawatan setiausaha politik kepada ketua menteri.

Selain Pertama Ferroalloys, 4 syarikat besar lain yang melabur di Taman Industri Samalaju ialah Press Metal, OM Materias, OCIM dan Sakura Ferroalloys.

Taman Industri Samalaju sejak kewujudannya telah menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan. — DayakDaily