Lepo Rurum Bario diceriakan semula
BARIO, 11 Julai: Penduduk Bario menerima suntikan semangat baharu apabila bangunan komuniti utama, Lepo Rurum dicat semula menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Pertama FerroAlloy Sdn Bhd.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala merakamkan penghargaan kepada syarikat tersebut atas inisiatif yang memperindah serta menyelenggara kemudahan komuniti berkenaan.
“Program ini bukan sekadar menaik taraf bangunan tetapi turut menyemai semangat gotong-royong, kebersamaan dan tanggungjawab bersama antara syarikat dan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Lepo Rurum bukan sekadar struktur fizikal malah berperanan penting sebagai pusat pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan dan perbincangan masyarakat terutama menjelang Pesta Nukenen dan Kebudayaan Bario yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai ini.
“Penyelenggaraan bangunan ini penting bagi menjamin keselesaan dan kelestariannya sebagai pusat komuniti,” ujarnya.
Gerawat turut menyuarakan harapan agar program tersebut menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama CSR antara Pertama FerroAlloy dengan masyarakat luar bandar di kawasan Mulu khususnya dalam bidang pendidikan, kemudahan asas, pemerkasaan belia dan alam sekitar.-TVS